Sajak - Melayari Bahtera Ini Bersamanya

Melayari Bahtera Ini Bersamanya, Isteriku (Nor Aida binti Kamaruddin)

Melayari bahtera ini bersamanya

Aku, adalah lelaki bertuah itu

Memenuhi suratan takdir Ilahi

Jodoh mempertemukan kami berdua

Melayari hidup sebagai suami isteri

Menghuni kamar hatinya

Membelai kasih mesranya

Susah senang, suka duka diharungi bersama

Meniti gerbang kehidupan penuh bahagia

 

Melayari bahtera kehidupan suami isteri

Dalam tawa ria dan bahagia

Dalam kasih sayang dan cinta

Saling cintai mencintai

Saling sayang menyayangi

Saling bertolak ansur

Saling perlu memerlukan

Saling hormati menghormati

Saling bantu membantu

Saling percaya mempercayai

Itulah falsafah cinta

 

Melayari bahtera ini bersamanya

Kita adalah manusia yang hanya mampu merancang

Namun takdir Ilahi adalah bukti kekerdilan kita

Dalam mengecapi kebahagian bersama

Tiba-tiba ujian datang melanda

Keresahan bertimpa-timpa

Kanser payudara, dalam usia muda, ia berakar, ia berumbi, memenuhi fitrah kejadiannya

Menagih kesabaran, meraih ketabahan , menguji erti keredhaan

 

Melayari bahtera ini bersamanya

Dalam sakit dia tersenyum

Dalam perit dia pasrah

Antara hidup dan mati

Menyabung nyawa untuk diri dan anak

Menjalani rawatan tanpa jemu, tanpa takut

Semuanya untuk satu matlamat, iaitu sembuh

Kita adalah manusia

Berubat selagi terdaya oleh kudrat

 

Melayari bahtera ini bersamanya

Ketika sel-sel kanser memamah sisa-sisa usia

Tiada setitis airmata yang gugur

Tiada sekali keluhan terhambur

Tak pernah menyalahkan takdir

Mengapa diri, tidak orang lain

Kerana, baginya penyakit adalah peringatan dari Ilahi

Penyakit adalah penghapus dosa

Kalau redha, kalau sabar, martabat tinggi di sisiNya

Dalam sakit dia menemui kemanisan

Dalam sengsara dia menemui kedamaian

Dalam sisa usia yang menyingkat

Kehidupan seharian penuh ibadah

Sebagai bekal menghadap Pencipta

 

Melayari bahtera ini bersamanya, isteriku

Aku mengaguminya

Seorang yang cantik, berketerampilan, bijaksana, sangat baik hati

Cukup tenang, penuh tabah

Hidup adalah anugerah

Keluarga adalah kehidupannya

Dan aku adalah kegembiraannya

 

Melayari bahtera ini bersamanya

Aku tak pernah rasa sengsara

Kerana dia bukan kesengsaraanku

Aku tak pernah rasa kecewa

Kerana dia bukan kekecewaanku

Aku tak pernah rasa derita

Kerana dia bukan penderitaanku

Yang pastinya, aku bahagia

Kerana dia adalah kebahagiaanku

Melaluinya aku belajar

Melihat kehidupan dari sudut yang baru

 

 

 

Melayari bahtera ini bersamanya

Dalam mengharung kehidupan bersama anak-anak

Demi masa depan mereka

Aku bersandar pada semangatnya

Aku berpegang pada amanatnya

Pesannya, jagalah anak-anak sebaik-baiknya

Kerana mereka adalah harta dunia akhirat

Aku ingin jadi kuat, sekuat dia

Namun air mata ini tumpah jua

Sendu ini terisak jua

Tapi air mataku tumpah dalam sujud

Senduku bergema dalam tahajjud

Memohon ampunan untuk diri, isteri dan zuriat

Semoga kehidupan senantiasa dalam rahmatNya

Ya Allah, Engkau terimalah roh isteriku sebagai selayaknya

Orang yang mendapat redha dan ampunanMu.

 

Melayari bahtera ini bersamanya,

Dalam mengimbau sisa-sisa kenangan

Aku merinduinya

Aku mencemburinya, kerana, dia ada redhaku.

 

Nukilan,

Badrulhaisham Shamsuddin

21 Disember 2012, 12.21am